Setelah genap 6 bulan saya tidak menulis dan mengutarakan pendapat-pendapat peribadi di ruangan ini, kini saya kembali dengan sedikit pendapat dan pandangan mengenai beberapa perkara yang berlaku kebelakangan ini. Diakui bahawa saya bukanlah seorang penulis yang baik dan tidaklah mempunyai idea-idea bernas untuk diutarakan dalam beberapa perkara (di mana ini merupakan antara faktor utama saya tidak mengisi ruangan ini sejak sekian lama). Di sini saya ingin memberikan sedikit pandangan jujur mengenai beberapa perkara yang telah timbul. Mohon maaf sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan fakta di atas pandangan-pandangan yang akan diutarakan:
Suasana Semasa Politik Negara
- Umum mengetahui dan mengakui bahawa suasana politik semasa di negara ini tidak berada dalam suasana yang harmoni di mana pihak-pihak berkepentingan sentiasa ingin 'membenar'kan pihaknya dan 'menidak'kan pihak lawan walaupun kadang-kadang dalam sesuatu isu yang timbul, secara jelas menunjukkan kesalahan berada di pihak tertentu.
- Tanpa ingin menyebelahi mana-mana pihak, secara umumnya, saya sebagai salah seorang rakyat negara ini yang cintakan keamanan dan keharmonian, ingin menyeru semua pihak tidak kira fahaman politik supaya dapat bersatu membina satu suasana masyarakat yang aman dan harmoni supaya kita, masyarakat berbilang kaum di negara ini dapat hidup tenteram dan saling menghormati antara satu sama lain.
- Secara peribadi dan secara teorinya sahaja, saya berpendapat bahawa suasana politik huru-hara yang sedang berlaku akhir-akhir ini dapat diselesaikan secara baik sekiranya pemimpin-pemimpin utama dalam sesuatu parti politik dapat duduk semeja dalam suasana harmoni tanpa mengambilkira perbezaan fahaman politik, berbincang dan mencapai kata sepakat dalam sesuatu isu atau salah faham yang timbul kerana mereka-mereka ini mempunyai pengaruh yang besar kepada pengikut-pengikut serta ahli-ahli parti masing-masing.
- Dalam erti kata lain (secara teorinya), pengikut-pengikut dan ahli-ahli parti di peringkat bawahan akan turut terpengaruh dengan cara pemimpin-pemimpin mereka di peringkat atasan yang boleh bekerjasama dan berdamai antara satu sama lain dan mereka (pengikut dan ahli di bawah) juga turut boleh bekerjasama dan berdamai antara satu sama lain tanpa mengambilkira apa-apa perbezaan fahaman dalam berpolitik. Secara tidak langsung, ini akan melahirkan satu suasana harmoni dalam kehidupan bermasyarakat. Pengaruh pemimpin sangat besar kepada penyokong-penyokong mereka. Baik seorang pemimpin, baiklah penyokongnya (dengan harapan).
- Secara kesimpulan, umumnya kepada pemimpin-pemimpin, penyokong-penyokong, ahli-ahli dan pengikut mana-mana parti politik yang beragama Islam, janganlah terlalu ghairah dan fanatik berpolitik sehingga meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan Islam. Walau apa sahaja yang kita lakukan, di mana sahaja kita berada, apa pun fahaman parti politik kita, siapa pun pemimpin kita, letaklah ISLAM berada di kedudukan teratas melebihi segala-galanya. InsyaAllah, kita akan selamat dunia dan akhirat.
- Kepada rakan-rakan yang bukan beragama Islam, saya yakin agama anda juga tidak menyuruh penganut-penganutnya supaya membuat kerosakan dan menimbulkan suasana yang tidak baik. Berpolitiklah mengikut cara dan etika yang baik, di mana hasilnya boleh menjadikan semua rakyat hidup aman dan harmoni.
'Krisis' Agama di Malaysia
- Isu terbaru yang melibatkan penangkapan bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr.Mohd Asri Zainul Abidin (Dr.MAZA) oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas kesalahan memberikan ceramah di salah satu tempat di Selangor tanpa tauliah (menurut dakwaan pihak JAIS) telah mendapat reaksi ramai termasuk dari pihak-pihak kerajaan, pihak-pihak pemimpin parti politik, ahli-ahli parlimen, pihak-pihak NGO, orang-orang perseorangan, dari kalangan-kalangan artis, juga tidak ketinggalan pihak-pihak yang mempunyai kaitan samada secara peribadi ataupun professional dengan Dr.MAZA dari luar negara. Ada reaksi yang menyokong penangkapan tersebut dan ada reaksi yang menentang keras. Masing-masing ada hujah bagi menegakkan pendapat dan pandangan masing-masing.
- Sebagai seorang pemerhati yang mengikuti perkembangan isu ini, satu kesimpulan umum telah dibuat iaitu..'krisis' yang melibatkan pertelingkahan golongan-golongan agama seperti ini sedikit sebanyak telah menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat terutamanya bagi mereka yang masih kurang pengetahuan ilmu agamanya.."yang mana satu betul dan yang mana satu salah?".."yang mana hendak percaya dan yang mana yang tidak boleh dipercayai?"
- Reaksi-reaksi yang pelbagai mengenai isu ini juga antaranya datang dari golongan-golongan 'authority' agama sendiri. Dengan menghormati pendapat dan pandangan tokoh-tokoh agama ini (yang sememangnya arif dalam hal ehwal Islam) yang telah diberikan bersama hujah dan nas masing-masing, ada sedikit kekesalan apabila ada di antaranya kelihatan seperti berlaku tidak adil dalam memberi hujah dan pendapat kerana ada antara mereka-mereka ini bersifat 'selektif' memberikan pendapat dalam isu-isu tertentu dan terdorong dari perasaan tidak puas hati terhadap pihak-pihak tertentu mengenai beberapa perbezaan pendapat.
- Sebagai tambahan, ada antara mereka yang menggunakan dalil-dalil dari Al-Quran bagi menegakkan pandangan masing-masing. Tanpa ingin menafikan betapa dalil-dalil yang dipetik dari Al-Quran itu adalah hak mutlak Allah dan sama sekali tidak boleh dinafikan kesahihannya..tetapi perlu diingat bahawa dalil-dalil sahih yang dipetik dari kitab suci Al-Quran itu juga sebenarnya boleh digunakan oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi dan bukannya untuk kepentingan ummah.
- Di zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib, puak Khawarij secara terbuka mengangkat senjata melawan Khalifah dan mengkafirkan sesama Islam dengan berkempen: "Tidak ada hukum melainkan hukum Allah". Slogan ini diambil dari petikan ayat Al-Quran yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka itu orang-orang kafir" (Surah Al-Maidah, ayat 44). Namun Saidina Ali menepis hujah tersebut dengan kata-kata tersohornya: "Satu slogan (dalil) yang benar, tetapi dengan maksud (tujuan) yang batil". Inilah contoh yang saya cuba kaitkan maksudnya dengan penggunaan dalil-dalil Al-Quran oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan kepentingan peribadi dan bukan untuk kepentingan ummah.
- Dengan doa dan harapan semoga segala kekeliruan ini dapat menemui jalan penyelesaian yang terbaik demi kepentingan umat Islam di dunia amnya, dan umat Islam di Malaysia khasnya.
Diharapkan agar pandangan-pandangan yang telah disebut di atas mengenai beberapa isu semasa yang telah dan sedang berlaku pada masa ini dapat difikirkan bersama dan dibincangkan baik buruknya demi kebaikan masa hadapan. Pandangan-pandangan tersebut hanyalah pandangan yang saya kira jujur dari perspektif saya tanpa ingin memenangkan atau menyalahkan mana-mana pihak. Sekali lagi, mohon maaf sekiranya terdapat beberapa kesalahan dan kesilapan fakta mengenai beberapa isu yang telah disebutkan di atas. Terima kasih..

